MAKLUMAN: Sila layari blog ini dengan menggunakan Mozilla Firefox untuk mendapatkan paparan yang lebih baik dan menarik. Untuk muat turun Mozilla Firefox, klik di sini.

Cabaran jiwai Upin dan Ipin

>> Sabtu, 21 Februari 2009


NAMA pelakon kanak-kanak Nur Fathiah Diaz mula mendapat perhatian ramai, sejak meminjamkan suaranya untuk siri mini popular sebanyak 18 episod Upin dan Ipin yang mula ditayangkan di saluran TV9 pada 2007.

Malah, populariti Nur Fathiah, 10, meningkat dalam sekelip mata apabila meminjamkan suaranya sekali lagi untuk karekter Upin dan Ipin dalam filem animasi 3D Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les’Copaque Production Sdn Bhd yang menjengah pawagam tanah air bermula 12 Februari lalu.

Menurut pengarah filem ini, Mohd Nizam Abd Razak, pembabitan awal Nur Fathiah dalam bidang lakonan juga tidak dirancang.

“Semuanya bermula ketika produksi Les’Copaque mencari suara bakat baru untuk diketengahkan dalam siri mini Upin dan Ipin ketika itu.

“Secara kebetulan, datuknya kenalan kepada penerbit siri ini yang juga Pengarah Urusan Les’Copaque, Burhanuddin Md Radzi.

“Kami tidak cukup bajet untuk mengambil pelakon popular atau profesional sedia ada untuk meminjamkan suaranya dalam filem ini. Justeru, pihak produksi memberi peluang kepada bakat baru terutama kepada anggota keluarga dan kenalan kami sendiri untuk mencuba bakat berlakon dalam filem ini.

“Ketika proses uji bakat, kami sudah nampak bakat besar yang ada pada Nur Fathiah. Perwatakannya yang ceria dan mudah didekati memang memenuhi kriteria yang dicari.

“Pada pandangan kami, lebih mudah berurusan dengan anggota keluarga atau kenalan sendiri kerana rakaman suara filem ini tidak kira siang atau malam,” katanya.

Mohd Nizam berkata, uji bakat untuk mencari suara bagi menghidupkan karakter Upin dan Ipin bermula pada 2006.

“Ketika mula-mula datang untuk buat uji bakat siri mini Upin dan Ipin, Nur Fathiah baru berusia tujuh tahun dan dia tidak pandai membaca dialog lagi. Saya masih ingat lagi dia terpaksa menghafal dialognya.

“Maklumlah, dia perlu menjiwai dua karakter berbeza iaitu Upin dan Ipin. Dengan bimbingan tenaga produksi, lama kelamaan, dia sudah dapat menjiwai dua karakter ini dengan baik seperti diharapkan,” katanya.

Mohd Nizam ditemui ketika membuat sesi lawatan ke Balai Berita bersama karakter Upin dan Ipin. Hadir sama, pelakon utama yang meminjamkan suara untuk kedua karakter berkenaan, Nur Fathiah Diaz.

Sebagai pelakon baru, Nur Fathiah berkata, pada peringkat awal dia berhadapan dengan cabaran untuk menjiwai karakter Upin dan Ipin itu.

“Upin dan Ipin dua karakter berbeza. Saya perlu bijak mengawal suara untuk membezakan dua karakter ini. Karakter Upin lebih matang berbanding Ipin. Namun dengan bantuan penyelaras suara produksi ini, Muhamad Anas Abd Aziz, saya dapat menjiwai kedua karakter ini seperti dikehendaki pengarah,” katanya.

Penuntut tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Menegon, Klang, Selangor yang juga anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, sekalipun sibuk berlakon, keutamaannya tetap pada pelajaran.

“Pelajaran saya tidak terjejas kerana saya hanya menjayakan rakaman filem ini ketika musim cuti sekolah atau hujung minggu.

“Sebenarnya, sejak siri mini Upin dan Ipin, saya banyak mendapat tawaran berlakon drama tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin memberi tumpuan pada pelajaran. Pelajaran tetap nombor satu kerana cita-cita saya untuk menjadi doktor bila dewasa nanti,” katanya.

sumber: Harian Metro 21 Februari 2009

0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP