MAKLUMAN: Sila layari blog ini dengan menggunakan Mozilla Firefox untuk mendapatkan paparan yang lebih baik dan menarik. Untuk muat turun Mozilla Firefox, klik di sini.

Tazkirah: Penyucian Hati

>> Sabtu, 28 Februari 2009

SALAH satu sifat keji di sisi Islam adalah berprasangka buruk kepada orang lain. Perasan itu timbul daripada rasa dengki dan tidak puas hati atas apa yang diperoleh orang lain yang kemudian berakar sehingga menjalar kepada perasaan khianat dan dendam.

Tuduhan demi tuduhan kemudian tersebar melalui lidah fitnah. Surat layang dan internet dimanfaatkan sebagai saluran bagi membangkitkan gelora benci serta iri hati yang tiada had tanpa mengambil kira risiko terhadap keamanan dan keharmonian.

Sebenarnya penyakit inilah yang dibimbangi kerana boleh merosakkan keperibadian Islam yang dibina atas paksi keimanan. Bahkan perbuatan memburukkan orang lain lebih didorong oleh hasutan ingin melihat pertelingkahan sesama saudara seagama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Jangan kamu marah, jangan kamu berhasad dengki dan jangan kamu bermasam muka, sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelakuan buruk ini amat disukai syaitan dan penyebaran berita buruk serta fitnah cepat merebak, tambahan daripada mulut mereka yang berpengaruh.

Tanpa dipersoalkan kebenaran berita dibawa, mereka yang berminat menyebarkannya secara tidak terbatas melalui rangkaian dan jaringan mulut manusia yang sukar disekat.

Allah mengingatkan dalam firmanNya:

Ertinya: “Wahai orang beriman! Jauhi kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Islam menekan soal menjaga maruah dan peribadi Muslim. Bahkan, Islam menuntut disembunyikan keaiban orang lain walaupun mengetahuinya. Begitulah nilai dan berharganya Islam dalam mempertahankan maruah penganutnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Berhati-hati kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Hadis riwayat Muslim)

Sikap buruk sangka ini membawa padah lebih buruk jika berlaku dalam komuniti setempat. Suasana aman dan harmoni akan menuju kehancuran. Penyakit hati seperti saling membenci, mencaci dan tuduh-menuduh yang berterusan menjurus kepada perbalahan berpanjangan yang sukar dibendung.

Bayangkan jika ia berlaku dalam negara yang penghuninya menjadikan fitnah dan prasangka sebagai budaya hidup. Senjata inilah yang membunuh keamanan dan keharmonian menjadi impian manusia.

Islam melarang keras fitnah serta menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah balasan azab yang pedih.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu semua bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

Rasulullah SAW mengingatkan kita sentiasa menjauhi perbuatan keji kerana kesannya membawa budaya tunjuk perasaan, fitnah memfitnah dan serang menyerang yang langsung tidak mempedulikan keamanan serta keharmonian.

Perbuatan sangka buruk terhadap orang lain timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki. Perbuatan itu melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan akal dianugerahkan Allah.

Oleh itu, jangan dibenarkan nafsu menguasai akal dan adakan pertimbangan akal serta iman. Setiap pertuduhan perlu bukti kukuh. Serangan secara membabi buta bukan cara yang dituntut Islam. Cerita disebarkan dari mulut ke mulut tidak boleh dijadikan bukti untuk membenarkan segala dakwaan. Jika sesuatu tidak sahih dan sumber rujukan belum tentu benar, maka periksa dulu.

Firman Allah bermaksud:

Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksa dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesal perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Semua pihak mesti memainkan peranan menjaga keamanan dan keharmonian yang sekian lama dikecapi ini. Nikmat Allah yang berharga ini hendaklah disyukuri sentiasa.

Allah berfirman bermaksud:

Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata.” (Surah an-Nahl, ayat 114)

Tidak dinafikan keamanan dan kestabilan yang dinikmati berkat muafakat serta kesepaduan hidup bermasyarakat, tanpa mengira agama, budaya dan bangsa. Di sinilah keistimewaan agama Islam yang mengajar umatnya berbuat baik dan menunaikan tanggungjawab di samping menghargai nikmat dikurniakan Allah.

Bukankah Allah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan berkekalan adalah melalui rasa syukur kepadanya.

Firman-Nya bermaksud:

Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Adapun nikmat keamanan dan keharmonian hanya sebahagian daripada kurniaan Allah sedangkan banyak lagi nikmat yang diberikan. Justeru, bagi mempertahankan keharmonian dan keamanan, jauhi sifat dengki dan khianat.

sumber : Berita Harian, Jumaat-27 Feb 2009

Read more...

Ujian Prestasi 1

>> Selasa, 24 Februari 2009

Assalamualaikum,

Minggu ini merupakan minggu Ujian Prestasi 1. UP 1 ini bermula pada 24 Februari 2009 dan berakhir pada 26 Februari 2009.

Semua guru SKTM mendoakan agar murid-murid dapat menjawab soalan dengan baik. Semoga anda semua akan berjaya. Jadikan UP 1 ini sebagai muhasabah dan cara untuk menilai tahap pemahaman anda selama dua bulan pertama ini.

Ma'a at-Taufiq wa An-Najah kepada semua...

Kepada semua warga pendidik SKTM juga, selamat menanda kertas ye,... All the best.

Read more...

Selamat Sambung Belajar

>> Ahad, 22 Februari 2009

Assalamualaikum,

Semua warga SKTM khususnya tenaga GPI dan GPI j-QAF ingin merakamkan ucapan tahniah, mabruk dan selamat menyambung pengajian kepada USTAZAH SITI HUZAIMAH KADRI di Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Lembah Pantai.

Beliau akan mengambil kursus 14 minggu sebagai syarat untuk menyambung pengajian di OUM. Beliau akan memulakan sesi pengajiannya bermula 22 Februari hingga 20 Mei 2009.

Kepada Kak Siti, kami ingin rakamkan tahniah dan mendoakan agar beroleh kejayaan yang diidam-idamkan. Kehilangan pasti terasa apabila ketiadaan Kak Siti bagi sama-sama mengendalikan KBS kelak...

Semoga kembali ke SKTM membawa kejayaan...InsyaAllah

Read more...

Cabaran jiwai Upin dan Ipin

>> Sabtu, 21 Februari 2009


NAMA pelakon kanak-kanak Nur Fathiah Diaz mula mendapat perhatian ramai, sejak meminjamkan suaranya untuk siri mini popular sebanyak 18 episod Upin dan Ipin yang mula ditayangkan di saluran TV9 pada 2007.

Malah, populariti Nur Fathiah, 10, meningkat dalam sekelip mata apabila meminjamkan suaranya sekali lagi untuk karekter Upin dan Ipin dalam filem animasi 3D Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les’Copaque Production Sdn Bhd yang menjengah pawagam tanah air bermula 12 Februari lalu.

Menurut pengarah filem ini, Mohd Nizam Abd Razak, pembabitan awal Nur Fathiah dalam bidang lakonan juga tidak dirancang.

“Semuanya bermula ketika produksi Les’Copaque mencari suara bakat baru untuk diketengahkan dalam siri mini Upin dan Ipin ketika itu.

“Secara kebetulan, datuknya kenalan kepada penerbit siri ini yang juga Pengarah Urusan Les’Copaque, Burhanuddin Md Radzi.

“Kami tidak cukup bajet untuk mengambil pelakon popular atau profesional sedia ada untuk meminjamkan suaranya dalam filem ini. Justeru, pihak produksi memberi peluang kepada bakat baru terutama kepada anggota keluarga dan kenalan kami sendiri untuk mencuba bakat berlakon dalam filem ini.

“Ketika proses uji bakat, kami sudah nampak bakat besar yang ada pada Nur Fathiah. Perwatakannya yang ceria dan mudah didekati memang memenuhi kriteria yang dicari.

“Pada pandangan kami, lebih mudah berurusan dengan anggota keluarga atau kenalan sendiri kerana rakaman suara filem ini tidak kira siang atau malam,” katanya.

Mohd Nizam berkata, uji bakat untuk mencari suara bagi menghidupkan karakter Upin dan Ipin bermula pada 2006.

“Ketika mula-mula datang untuk buat uji bakat siri mini Upin dan Ipin, Nur Fathiah baru berusia tujuh tahun dan dia tidak pandai membaca dialog lagi. Saya masih ingat lagi dia terpaksa menghafal dialognya.

“Maklumlah, dia perlu menjiwai dua karakter berbeza iaitu Upin dan Ipin. Dengan bimbingan tenaga produksi, lama kelamaan, dia sudah dapat menjiwai dua karakter ini dengan baik seperti diharapkan,” katanya.

Mohd Nizam ditemui ketika membuat sesi lawatan ke Balai Berita bersama karakter Upin dan Ipin. Hadir sama, pelakon utama yang meminjamkan suara untuk kedua karakter berkenaan, Nur Fathiah Diaz.

Sebagai pelakon baru, Nur Fathiah berkata, pada peringkat awal dia berhadapan dengan cabaran untuk menjiwai karakter Upin dan Ipin itu.

“Upin dan Ipin dua karakter berbeza. Saya perlu bijak mengawal suara untuk membezakan dua karakter ini. Karakter Upin lebih matang berbanding Ipin. Namun dengan bantuan penyelaras suara produksi ini, Muhamad Anas Abd Aziz, saya dapat menjiwai kedua karakter ini seperti dikehendaki pengarah,” katanya.

Penuntut tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Menegon, Klang, Selangor yang juga anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, sekalipun sibuk berlakon, keutamaannya tetap pada pelajaran.

“Pelajaran saya tidak terjejas kerana saya hanya menjayakan rakaman filem ini ketika musim cuti sekolah atau hujung minggu.

“Sebenarnya, sejak siri mini Upin dan Ipin, saya banyak mendapat tawaran berlakon drama tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin memberi tumpuan pada pelajaran. Pelajaran tetap nombor satu kerana cita-cita saya untuk menjadi doktor bila dewasa nanti,” katanya.

sumber: Harian Metro 21 Februari 2009

Read more...

Upin dan Ipin di SKTM

Salam..

Dikesempatan ini, kami warga SK Telok Menegon nak ucapkan Selamat Berjaya buat adik Fathiah Diaz murid Tahun 4 SKTM yang akan mewakili sekolah ke Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu. Semoga bakat yang ada dalam diri akan terus subur, membentuk jiwa dan akhlak yang terpuji...

Betul tak ipin?... "hmmm...betul betul betul..."

Adik Fathiah, nama yang kini sinonim dengan Upin dan Ipin di SKTM...walaupun dah glamour, dia tetap maintain dengan sifat lucu dan ceria...moga Fathiah terus cemerlang

Taknak sponsor tiket Geng: Pengembaraan Bermula ke??

Read more...

Kelas Tasmik Bermula

>> Selasa, 17 Februari 2009

Walaupun sebenarnya kelas tasmik sudah bermula seawal sesi persekolahan lagi, namun pada bulan pertama pelaksanaannya, tidak ramai murid sama ada tahap 2 pada sesi pagi mahupun murid petang (tahun 1, 2 dan 3) yang hadir ke Baitul Hikmah (bilik j-QAF) untuk mengaji al-Quran.

Namun begitu, apabila surat edaran rasmi dikeluarkan kepada ibu bapa semalam, respon yang diterima begitu menggalakkan dan memberansangkan. Jadual yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

Tahun 1: Setiap Hari Selasa
Tahun 2: Setiap Hari Rabu
Tahun 3: Setiap Hari Khamis

Masa : 12.00 pm hingga 1.00pm

Kedatangan murid tahun 1 pada hari ini agak mengejutkan semua guru GPI j-QAF. Mereka hadir bersama-sama ibu bapa masing-masing. Keadaan ini menimbulkan keadaan kurang selesa sebenarnya. Namun kami semua terpaksa menerima hakikat bahawa mruid tahun 1 sememangnya masih baru dalam dunia j-QAF ini.

Bertalu-talu persoalan yang diterima daripada pihak ibu bapa. Kami menerima dan menjawab persoalan tersebut dengan berlapang dada...

Semoga kehadiran murid ke kelas tasmik pada hari-hari dan minggu-minggu akan datang, akan bertambah meriah dan menggalakkan.

Terima kasih juga kepada semua ibu bapa yang memberikan komitmen yang tinggi dan kerjasama yang baik.

Kepada semua GPI dan GPI j-QAF, selamat menjalankan tugas...

Read more...

MTQ Peringkat Sekolah 2009

>> Isnin, 16 Februari 2009

Assalamualaikum,

Sabtu-14 Februari, Panitia Pendidikan Islam j-QAF SK Telok Menegon telah berjaya menyempurnakan Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ’09) Peringkat Sekolah. MTQ kali ini adalah bertujuan untuk memilih peserta yang akan mewakili SKTM pada MTQ Peringkat Zon yang dijadualkan pada 23 Mac 2009.

MTQ peringkat sekolah yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada murid tahun 4, 5 dan 6. Sebanyak 6 kategori acara telah dipertandingkan iaitu tilawah al-Quran, hafazan, tulisan jawi, khat, bercerita dan nasyid.

Ramai murid begitu teruja untuk menyertai pertandingan ini kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka. MTQ ini telah berjaya menimbulkan semangat persaingan dikalangan murid dan kerjasama diantara mereka khususnya dalam pertandingan nasyid. Ahli kumpulan telah berusaha mencari lagu, tema dan bentuk gaya persembahan secara kolektif tanpa bimbingan guru. Ini menunjukkan mereka mampu berdikari dan bekerjasama antara satu sama lain.

Hakim yang mengadili pertandingan ini terdiri daripada guru-guru SKTM sendiri. Namun bagi bahagian nasyid, hakim jemputan telah diundang bagi menilai para peserta. Mereka ialah Tuan Haji Kaharuddin dan Encik Mohd Radzi.

Read more...

Kem Bestari Solat

>> Ahad, 8 Februari 2009

Read more...

Sekitar KBS Tahun 5 Siri 1/2009

>> Sabtu, 7 Februari 2009

Assalamualaikum...

Tanggal 31 Januari 2009, kami telah berjaya melaksanakan KBS Tahun 5 Siri 1/2009 seperti yang telah dirancang. Walaupun kehadiran murid tidak memuaskan iaitu hanya 65 orang sahaja, namun kami laksanakan sebaik mungkin.

Objektif KBS Tahun 5 adalah seperti berikut:

1.1.1. Murid dapat berwudhuk dan tayammum dengan sempurna

1.1.2. Murid dapat melaungkan dan melafazkan Azan dengan betul

1.1.3. Murid dapat melafazkan Azan dan Iqamah dengan betul

1.1.4. Murid dapat membaca doa selepas Azan dan Iqamah dengan betul

1.1.5. Murid dapat membaca dan menghafaz surah Al-Bayyinah, Al-Qadr dan Al-‘Alaq dengan betul dan lancar

1.1.6. Murid dapat membaca dan memahami surah Al-Fatihah, doa iftitah, tahiyyat awal, tahiyyat akhir dan doa qunut.

1.1.7. Murid dapat melaksanakan solat berjemaah dengan sempurna

1.1.8. Murid dapat memahami dan menyatakan perbezaan antara masbuk dan muafiq

1.1.9. Murid dapat menyatakan syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah solat



KBS Tahun 5 ini bermula jam 8.00 pagi. Selepas sesi pembahagian kumpulan dan taklimat kepada semua murid, mereka telah bergerak ke kelas dan bilik khas untuk meneruskan aktiviti bersama fasilitator.

Tentatif KBS pula seperti berikut:

07.30 – 07.40 pg - Perhimpunan

07.40 – 08.00 pg - Taklimat dan Agihan Kumpulan

08.00 – 09.30 pg - Tasmik Al-Quran

09.30 – 10.00 pg - Rehat

10.00 – 10.30 pg - LDK 1

10.30 – 11.30 pg - LDK 2

11.30 – 12.30 tgh hari - LDK 3

12.30 tgh hari - Makan tengah hari

- Solat Zuhur berjemaah dan bersurai



Pengisian LDK pula seperti di bawah:

1.1. Tahun 5

1.1.1. LDK 1

Azan dan Iqamah:

- Laungan azan dan lafaz iqamah

- Jawab azan dan iqamah

- Doa selepas azan dan iqamah

1.1.2. LDK 2

Solat berjemaah teori dan praktikal:

- Lafaz niat solat berjemaah

- Perlakuan solat berjemaah

- Kedudukan imam dan makmum

- Masbuq dan muafiq

1.1.3. LDK 3

Bacaan dalam solat & Amali Solat

- Menghafaz Surah Al-Bayyinah, Al-Qadr dan Al-‘Alaq

- Surah Al-Fatihah

- Tahiyyat awal & akhir

- Doa Qunut

- Amali Wuduk dan Tayammum

- Amali Solat Berjemaah


Berikut ialah gambar sekitar KBS Tahun 5... :)


Ustazah Suhaila sedang tasmik murid-muridnya



Murid tekun membaca al-Quran


Murid perempuan juga tidak ketinggalan...khusyuk membaca al-Quran


Amali Solat di dalam Bilik Baitul Hikmah


Waktu yang ditunggu-tunggu...Baca doa dulu yea...


Sama-sama tunaikan solat Fardhu Zuhur berjemaah...diimamkan oleh Ustaz Hamidi



Selesai solat, ustaz Hamidi menyampaikan sedikit tazkirah dan nasihat kepada semua murid

Program selesai jam 2.00 petang. Apa yang diharapkan, semua murid yang hadir dapat memanfaatkan ilmu serta menjadikan solat sebagai amalan yang sentiasa dilakukan.

Kepada semua guru yang terlibat (ustazah Mazrita, ustazah Suhaila, ustazah Suhana, ustazah Saliza, ustazah Salmiah, ustazah Suziana, ustaz Muazzin, ustaz Hamidi dan ustazah Siti Huzaimah), semoga segala usaha akan diberkati Allah... jika bukan habuan kita di dunia, tunggulah di akhirat sana... InsyaAllah. Jumpa lagi di KBS yang akan datang yeeee...

Read more...
Blog Widget by LinkWithin

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP